Perancangan Dato' Bentara Luar Perang_Saudara_Jementah

Pada pertengahan bulan Disember 1879, pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar berjaya menawan sebuah kubu musuh di Padang Juling. Mengikut catatan Encik Daud bin Sulaiman, seorang ahli sejarah di Batu Pahat, Johor, semasa bertahan di kubu Padang Juling Dato' Bentara Luar telah menyusun satu rancangan yang rapi dan lengkap bertujuan untuk menamatkan Perang Jementah dengan segera. Beliau telah memerintahkan seratus orang menebang pokok buluh dan setiap orang dikehendaki mengikat buluh-buluh itu menjadi seberkas.

Pada keesokan harinya, tiga ratus orang Dato' Bentara Luar 'berpura-pura' menyerang kubu Tengku Nong dan Panglima Sancu. Sambil serangan olok-olok itu dibuat, Dato' Bentara Luar menyuruh enam puluh orang pengikutnya membuat satu jalan pintas menuju ke arah kubu musuh.

Empat pucuk meriam dipasang dengan arah muncungnya dihalakan ke arah kubu musuh. Panglima Besar Yusuf dan Panglima Kiri Awang merangkak perlahan-perlahan mengambil tempat berhampiran pagar kubu lawan. Panglima Lamit bersama orang-orangnya mengangkut berkas-berkas buluh itu sementara Dato' Bentara Luar dan Panglima Esa disertai oleh lima orang pengikutnya membuat benteng.

Kebetulan pada malam itu hujan turun dengan lebatnya. Hujan ini memudahkan lagi kerja Dato' Bentara Luar. Menjelang pagi, Dato' Bentara Luar mengarahkan semua meriam dan senapang ditembak secara serentak. Serangan mengejut waktu subuh itu menyebabkan orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu dalam kubu menjadi kelam-kabut. Kebanyakan mereka sedang tidur nyenyak ketika itu.

Pihak Tengku Nong dan Panglima Sancu mulai panik lantas memukul gendang dengan tujuan menaikkan semangat mereka. Mereka sempat juga membalas tembakan dengan secara membuta tuli. Ekoran daripada serangan pada waktu subuh itulah akhirnya membawa kepada tamatnya Perang Jementah pada 30 Disember 1879.

Perang saudara itu berlaku dengan kemenangan di pihak Dato' Bentara Luar. Tengku Nong dapat ditawan dekat Gunung Ledang kira-kira sehari perjalanan dari Cohong. Wan Daud pula diberkas setengah jam selepas Tengku Nong ditangkap. Turut diberkas pada hari itu ialah Tengku Mat, Panglima Besar Sancu, Panglima Besar Layot dan Raja Berambut Panjang.

Panglima Sarip, seorang lagi panglima yang handal ditugaskan untuk mengawal keselamatan Tengku Mat semasa diberkas cuba melawan tetapi telah ditembak oleh Panglima Perang Awang. Manakala saki baki yang lain terus diburu.